comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki ditahan, miliki 1,950kg diesel subsidi

KOTA BHARU: Seorang lelaki ditahan di sebuah rumah di Kampung Kubang Bongor Kor, di sini, selepas disyaki menyeludup diesel dan mengumpul stok bahan api itu secara haram dalam serbuan pihak berkuasa malam tadi.

Hasil serbuan kira-kira jam 7.30 malam oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu, sejumlah 1,950 liter diesel yang disorok dalam rumah yang turut dijadikan kebun kelulut itu dirampas.

Semua diesel yang diisi dalam 78 tong plastik itu ditemukan dalam sebuah lori di kawasan parkir di perkarangan kediaman terbabit.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, hasil soal siasat suspek yang berusia lingkungan 40-an itu mengaku melakukan pengisian diesel subsidi berulang kali di beberapa stesen minyak sekitar daerah ini ke dalam tangki kenderaan yang diubah suai.

“Suspek juga mengaku memiliki barang kawalan dalam kediaman dan kenderaannya tanpa sebarang dokumen pemilikan, lesen barang kawalan atau kebenaran dari pengawal bekalan.

“Barangan kawalan yang disimpan itu akan dibawa ke pangkalan haram sekitar Tumpat untuk diselewengkan ke negara jiran melalui Sungai Golok,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan suspek turut ditahan polis untuk siasatan lanjut atas kesalahan dadah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini