comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis Johor mohon bantuan Interpol kesan suspek buat panggilan bom palsu

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat meninjau lokasi kejadian

JOHOR BAHRU: Polis Johor akan memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan suspek dipercayai lelaki warga asing yang membuat panggilan palsu ancaman bom, di sebuah pusat membeli-belah terkenal, di sini petang semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan mendapati panggilan daripada suspek dibuat dari luar negara namun lokasi sebenarnya masih dalam siasatan.

“Kita sahkan disini bahawa semalam memang pihak polis telah membuat pemeriksaan seratus peratus terhadap pusat membeli-belah dan juga hotel itu dan kita sahkan tidak ada bom seperti didakwa dan itu adalah panggilan palsu.

“Panggilan itu dibuat dari luar negara dimana lokasinya kita masih kenal pasti. Kita akan berhubung dengan pihak Interpol dan pihak juga pihak komunikasi (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk kenalpasti siapa yang sebenarnya membuat panggilan,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau pusat membeli belah berkenaan, selama kira-kira setengah jam, pagi tadi.

Petang semalam, ribuan pengunjung diarah mengosongkan pusat membeli belah berkenaan selepas menerima panggilan ancaman bom jam 6.15 petang.

Polis mengerakkan 92 pegawai dan anggota termasuk dua unit anjing pengesan K9 ke lokasi sejurus menerima laporan.

Bagaimanapun pemeriksaan oleh Unit Pemusnah Bom dan Anjing Pengesan K9 hingga jam 12.30 malam tadi mendapati tiada sebarang objek yang mencurigakan dikesan.

Datuk Kamarul Zaman berkata, meskipun ia panggilan palsu namun pihaknya memandang serius perkara berkenaan kerana ia melibatkan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Justeru pihaknya akan meningkatkan ‘omnipresence’ atau kehadiran polis bukan sahaja di pusat membeli belah berkenaan malah di kawasan tumpuan lain sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian hingga mencetuskan kegusaran awam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksima 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini