comscore
Tumpuan :
Jenayah

Mayat disimen dalam bilik air

Mayat dipercayai wanita ditemui disimen dalam bilik air di rumah sewa.

KLANG: Mayat dipercayai wanita ditemui ditanam dalam simen di bilik air di rumah sewa di Kampung Pendamar, di sini, semalam.

Difahamkan kediaman terbabit sebelum itu disewa dua lelaki warga asing sebelum mereka memaklumkan kepada pemilik rumah lelaki berusia 66 tahun ingin pindah keluar, Oktober lalu.

Menurut sumber, selepas penyewanya berpindah, pemilik rumah datang ke kediaman terbabit untuk membuat pemeriksaan sebelum penyewa baru berpindah masuk.

“Bagaimanapun lelaki warga emas terbabit menyedari terdapat tambahan simen di dalam bilik airnya sebelum bertanya kepada penyewa lamanya namun tidak mendapat maklum balas.

“Selepas itu barulah mereka memaklumkan balik kepada pemilik rumah terbabit kononnya ada bangkai tikus mengalir masuk ke dalam kolah mandi itu menyebabkan terpaksa menambah simen,” katanya.

Sumber berkata, lelaki itu yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian mengupah pekerja warga asing untuk membaiki rumahnya sebelum disewa kepada orang lain.

“Ketika proses membaiki itulah mayat mangsa ditemui di dalam simen terbabit sebelum pemilik rumah tampil membuat laporan di Balai Polis Pandamaran semalam.

“Polis yang menerima maklumat kemudian ke lokasi kejadian dan meminta bantuan bomba untuk memecahkan simen terbabit bagi mengeluarkan mayat,” katanya.

Difahamkan,  seorang lelaki warga asing sudah ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan kes bunuh terbabit dengan penemuan mayat itu.

Loading...
Terkini