comscore
Tumpuan :
Jenayah

Methamphetamine dalam bungkusan teh Cina bernilai hampir RM1 juta dirampas

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dengan rampasan bernilai hampir RM1 juta dalam serbuan di kawasan perumahan sekitar Bukit Gambir, Gelugor dekat sini, 4 April lalu.

Cawangan Risikan Ibu Pejabat JKDM bersama sepasukan pegawai Unit Narkotik Bahagian Penguatkuasaan negeri sebelum itu membuat pemantauan di kawasan perumahan terbabit bermula 9.30 malam.

Pengarah JKDM Pulau Pinang, Roselan Ramli berkata, selepas hampir lapan jam menunggu dan didapati tiada sebarang pergerakan manusia di kawasan terbabit.

“Pasukan itu kemudiannya membuat pemeriksaan dan menjumpai dua beg yang diletakkan di bawah pokok di dalam kawasan perumahan berkenaan.

“Beg itu kemudiannya dibawa pulang ke pejabat untuk pemeriksaan rapi sebelum pasukan menemui 30 bungkusan kecil yang dibalut dengan teh hijau tertera ‘Guanyinwang’ yang berisi hablur kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine seberat 30 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM966,976,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Stor Penguatkuasan JKDM di Bagan Jermal di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Roselan berkata, sindiket berkenaan didapati menggunakan modus operandi sedemikian bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa.

“Pihak kami masih menjalankan siasatan untuk mengesan suspek yang terbabit dalam penyeludupan dadah ini dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup ( CCTV) dari bangunan berhampiran,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini