comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis reman lelaki lakukan rompakan RM51 terhadap kenalan

Oleh: Kumaran Rajamoney

ARAU: Polis menahan seorang lelaki yang melakukan rompakan bersenjata di sebuah rumah di Lorong Sri Mawar, Jejawi dekat sini lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek telah bertindak meluru masuk ke dalam sebuah rumah sekitar jam 7 malam dan mengacukan sebilah pisau ke leher seorang mangsa lelaki.

“Ketika kejadian mangsa dan rakan serumahnya berada di bilik sewa. Suspek kemudiannya dilaporkan menumbuk serta menendang muka dan kepala mangsa beberapa kali.”

“Selepas itu suspek telah menggeledah beg dompet mangsa dan mengambil wang tunai lalu melarikan diri. Mangsa telah mengenal pasti suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah semasa kejadian,” katanya.

Mangsa jelasnya, mengenali suspek sejak berpindah ke bilik sewanya November lalu dan mempunyai hubungan yang baik serta tidak pernah mempunyai masalah lain.

Polis katanya, turut merampas wang tunai berjumlah RM51, serta sebilah pisau.

Suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai 13 rekod jenayah lampau.

Mahkamah Majistret Arau mengeluarkan perintah reman selama enam hari terhadap suspek, sehingga 11 Disember ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini