comscore
Tumpuan :
Jenayah

Motosikal warga emas dilarikan di depan mata

Seorang warga emas didatangi seorang lelaki seolah-olah memperlihatkan ingin meminta bantuan sebelum dilihat terus menunggang motosikal mangsa di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, pada Isnin. – Tangkap layar aplikasi X

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas hanya berdiri terpinga-pinga melihat motosikal miliknya dilarikan seorang lelaki di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, pada Isnin lalu.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan @nanmanjoi8715 di laman X semalam, suspek mendekati mangsa seolah-olah memperlihatkan ingin meminta bantuan atau meminjam motosikal.

Warga emas itu kemudian ilihat membuka topi keledar dipakainya dan dalam beberapa saat topi dalam pegangannya diambil suspek.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.29 pagi  itu, suspek dilihat terus menunggang motosikal  Honda Wave Alpha berkenaan dengan warga emas itu hanya berdiri tanpa menghalangnya,  seolah-olah seperti tidak sedar kenderaannya dilarikan.

Pada keterangan dalam video itu, mengatakan mangsa mungkin dipukau berdasarkan maklumat yang didengari pengguna media sosial daripada anak mangsa.

Sehingga jam 2 petang semalam, video itu mendapat lebih 66,000 tontonan di aplikasi X.

Sementara itu, polis menahan suspek selepas mangsa berusia 65 tahun membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor dilaporkan berkata, motosikal mangsa turut telah ditemui.

“Lelaki itu dilaporkan meminta motosikal (warga emas) untuk menghantar barangan di sekitar kawasan Banting.

“Bertindak atas aduan, seorang lelaki ditahan dan motosikal berkenaan dirampas dengan bantuan unit kereta peronda polis daerah Klang Utara.

“Suspek kini direman empat hari bagi melengkapkan siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (atas kesalahan mencuri kenderaan bermotor),” katanya dalam kenyataan semalam.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini