comscore
Tumpuan :
Jenayah

Nak mencuri tapi tak pandai

Foto hiasan

MUAR: Dua penjenayah tidak sempat berjoli hasil curi kerana ditahan pada hari sama.

Lebih memeranjatkan apabila ketika disoal siasat, suspek utama mengakui tahu nombor keselamatan peti besi seberat 100 kilogram yang dilarikan mereka.

Mengikut laporan, peti besi itu mengandungi wang tunai RM47,000 milik sebuah syarikat timbang sawit di Parit Limbong di sini, tempat suspek utama bekerja dengan salah satu tanggungjawabnya ialah mengendalikan peti besi itu.

Berdasarkan rakaman pada kamera litar tertutup (CCTV), suspek dipercayai memecah masuk premis itu pada jam 2.10 pagi Khamis lalu.

Kehilangan peti besi itu disedari seorang pekerja lain di premis itu ketika dia tiba untuk memulakan kerja sebelum memaklumkan perkara itu kepada majikannya.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata majikan terbabit kemudian membuat pemeriksaan melalui CCTV dan melihat kelibat dua suspek sedang mengusung peti besi itu.

Beliau berkata, berikutan itu satu laporan polis dibuat pada jam 11.30 pagi hari kejadian.

“Bertindak atas laporan dibuat, salah seorang suspek berusia 23 tahun yang juga dalang utama ditahan di Parit Jawa, dekat sini pada jam 1.30 petang hari sama,” katanya.

Suspek utama itu kemudian direman seminggu bermula 28 Julai lalu.

Susulan penahanan suspek utama, polis kemudian menahan seorang lagi suspek berusia 19 tahun selepas dia menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada jam 10 malam semalam.

Suspek kedua turut dibenarkan direman seminggu bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Muar.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini