comscore
Tumpuan :
Nasional

Bayi lelaki dan penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Pagoh 

MUAR: Bayi lelaki berusia 45 hari dan seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kilometer 144.40, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pagoh, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata nahas membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta itu berlaku pada jam 3.10 pagi apabila sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 20 tahun dipercayai terbabas di tengah-tengah lebuh raya.

Pada masa sama sebuah lagi motosikal dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuhnya, diikuti kereta jenis Mercedes Benz dinaiki lima sekeluarga turut gagal mengelak lalu merempuh kedua-dua penunggang terbabit.

“Rempuhan itu menyebabkan kereta terbabit terbabas ke tepi jalan. Seorang penunggang maut di tempat kejadian, manakala bayi lelaki terbabit meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.

“Seorang lagi penunggang motosikal serta empat sekeluarga yang menaiki Mercedes itu masih dirawat di hospital sama,” katanya dalam kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini