comscore
Tumpuan :
Jenayah

Op Ambang Merdeka, 25 Ditahan

Polis menahan 25 individu atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh 24 jam Op Ambang Merdeka di Johor. – FOTO : Ihsan PDRM

JOHOR BAHRU : Polis Johor menahan 25 individu atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh 24 jam Op Ambang Merdeka di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata dalam operasi yang bermula jam 8 pagi semalam hingga 8 pagi tadi, 21 lelaki dan empat wanita yang ditahan itu berusia antara 23 hingga 52 tahun.

Katanya, suspek yang terdiri daripada 21 lelaki dan empat wanita itu adalah antara 679 individu yang diperiksa di seluruh negeri ini.

“Sepanjang pemantauan dan operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kontinjen Johor, kita melakukan 31 pemeriksaan ke atas premis termasuk 19 pusat hiburan.

“Kita telah memeriksa 539 lelaki serta 140 wanita warga tempatan. Daripada jumlah itu, seramai 21 lelaki dan empat wanita warga tempatan ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sembilan suspek disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor dan empat suspek disiasat mengikut Seksyen 11(2) Enakmen Negeri Johor, masing-masing berkaitan pusat hiburan.

Katanya, dua suspek lagi ditahan mengikut Seksyen 45 Akta Pertubuhan 1966 dan seorang suspek lelaki berusia 30-an ditahan kerana masih dikehendaki polis mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Dua suspek ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan seorang daripadanya ditangkap kerana masih dikehendaki polis mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Turut ditahan, tujuh suspek mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana dikesan positif dadah ketika ujian saringan awal air kencing,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 20 helai resit perniagaan, komputer riba, lapan mikrofon, pengadun, enam pembesar suara, amplifier, televisyen, monitor, pendrive, pemain DVD, cakera padat dan wang tunai RM100.
BERITA HARIAN

Loading...
Terkini