comscore
Tumpuan :
Jenayah

Op Tiris: 4 lori seleweng minyak diesel bersubsidi disita 

Oleh : Mohd Ishak Abdillah Ngah 

DUNGUN:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel menerusi Op Tiris dalam empat serbuan berasingan yang dijalankan di tiga buah stesen minyak dan sebuah setor pengumpulan minyak diesel di sekitar Paka dan Kerteh.

Serbuan dilakukan oleh 11 orang anggota penguat kuasa daripada KPDN Terengganu dan 12 orang anggota PDRM Terengganu, bermula jam 1.00 pagi berdasarkan hasil risikan yang telah dilakukan selama sebulan.

Menurut Pengarah KPDN Terengganu, Saharudin Mohd Kia berkata, hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian, pasukan serbuan telah menahan 4 buah lori yang sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki yang diubah suai dan menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 45,630 liter selain beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan pemindahan minyak diesel.

Minyak diesel, kenderaan lori tangki, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM313,104.50.

Tiga individu lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 20an yang juga mengaku sebagai pemandu lori berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta dibaca bersama Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta.

KPDN mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan kepada pihak Kementerian.

Loading...
Terkini