comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pekerja Malaysia di Singapura dakwa diperas ugut RM2,000 oleh dua anggota polis

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Lim (kiri) membuat aduan di Bangunan Ibu Pejabat MCA di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mendakwa dirinya menjadi mangsa peras ugut membabitkan dua anggota polis cuba ketika melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Mangsa, 29, yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata kejadian berlaku ketika dia baharu pulang dari kerja di Singapura kira-kira jam 10 malam, pada Selasa lalu (2 April).

Katanya selepas dia melalui pelepasan keselamatan di BSI, dia secara tiba-tiba dihalang oleh dua lelaki berpakaian preman yang mengaku sebagai anggota polis.

Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru. FOTO: Imigresen BSI / Facebook

“Dua lelaki yang mendakwa dirinya sebagai polis telah mengambil telefon dan pasport saya. Mereka mengarahkan saya untuk mengikuti mereka ke sebuah bilik yang hanya boleh masuk menggunakan kad akses.”

“Dua anggota polis itu kemudian membiarkan saya di dalam bilik selama kira-kira setengah jam untuk disoal siasat atas kesalahan yang tidak diketahuinya.”

Katanya, dia kemudian diugut akan dimasukkan ke dalam lokap dan dibawa ke mahkamah.

Tambahnya, dia tambah keliru apabila kedua-dua anggota polis itu masih tidak menjelaskan jenis kesalahan yang dilakukannya.

Lim berkata demikian pada sidang media anjuran Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li di bangunan ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, Lim mendakwa salah seorang anggota polis itu kemudian memberitahunya bahawa mereka boleh membebaskannya dengan segera jika dia sanggup membayar mereka RM2,000.

Katanya, dia memaklumkan tidak mempunyai jumlah yang yang diminta di kedua-dua akaun bank Malaysia serta Singapura dan hanya mampu membayar sebanyak RM1,000.

Ini menyebabkan dia diarah mengikut salah seorang daripada mereka menaiki motosikal, tanpa diberikan topi keledar ke mesin ATM yang terletak di dalam stesen minyak berhampiran.

Katanya, keadaan berterusan sebanyak dua kali sebelum lelaki itu membawanya ke sebuah cawangan bank di Taman Pelangi dan selepas itu baharu dia dapat mengeluarkan wang sebanyak RM1,000.

Katanya, penderitaannya berakhir selepas dia berpura-pura mengalami sesak nafas.

Ini menyebabkan Lim ditinggalkan di sebuah perhentian bas.

Sebelum beredar, suspek turut mencampakkan pasport dan telefon bimbitnya.

Dia semakin lega apabila ada satu pasangan tempatan lalu dan membantunya.

Tambah Lim, dia membuat satu laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Larkin, pada awal pagi tadi.

Sementara itu, Heng menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan mangsa.

“Ini adalah perkara yang serius kerana insiden itu berlaku di dalam BSI, pintu masuk penting untuk penduduk tempatan dan pelabur, yang boleh mencemarkan imej Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan laporan mangsa dan berkata siasatan masih diteruskan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini