comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Pelbagai spesis hidupan laut bernilai RM5 juta dirampas

 

KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai spesis hidupan laut termasuk spesis terancam yang dianggarkan bernilai lebih RM5 juta di perairan Mangsee Reef, Kudat, Sabah.

Rampasan dilakukan hasil penahanan sebuah bot dinaiki empat lelaki dan antara yang dirampas termasuk lebih 9 tan pelbagai organ penyu yang sudah dipotong dan dikeringkan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata ketika melakukan rondaaan di kawasan perairan Kudat, sebuah bot dikesan dalam keadaan mencurigakan semalam.

Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, bot segera memecut ke arah kawasan cetek di perairan Mangsee Reef.

Empat lelaki kemudian melompat keluar dari bot dan berenang ke arah kawasan cetek untuk melarikan diri.

Pada masa sama, sebuah bot pam menghampiri empat lelaki terbabit dan membawa mereka menuju ke arah sempadan perairan antarabangsa.

Pemeriksaan awal oleh PPM Kudat menemui 300 guni disyaki mengandungi pelbagai organ penyu yang sudah dikeringkan dianggarkan bernilai RM4.5 juta.

Penyu adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Turut dirampas, 2 tan kulit kerang dan siput pelbagai spesis, 90 kilogram balat susu yang dikeringkan, 150 kilogram kuda laut yang dikeringkan serta 80 kilogram rumpai laut, 5 kilogram sirip yu kering, dan 5 kilogram gelembung ikan.

Sejumlah 600 kilogram pelbagai jenis ikan serta 15 kilogram sarang burung walit juga ditemui.

Kes dirujuk kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut.

Loading...
Terkini