comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sorok syabu 528kg dalam hutan simpan, dirampas

KANGAR: Sindiket pengedaran dadah terbesar di Perlis yang menjadikan menggunakan kawasan Hutan Simpan Persekutuan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) di Padang Besar sebagai transit membawa masuk bekalan dari negara jiran, tumpas.Polis merampas 528 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM19 juta Rabu lalu serta menahan empat lelaki berusia antara 21 hingga 42 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, operasi bermula dengan pasukan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menahan lelaki, 35, di sebuah rumah di sekitar Padang Besar.

FOTO: NSTP

“Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kita kepada satu tempat penyimpanan sejumlah besar dadah di Hutan Simpan Persekutuan Frim di Jalan Tasoh-Kaki Bukit-Padang Besar.

“Pemeriksaan menemukan troli besi yang ditutupi ranting dan daun terbiar, serta 20 guni berjahit yang di dalamnya terdapat 480 bungkusan plastik teh cina, disyaki mengandungi dadah.

“Susulan itu, tiga lagi lelaki berusia antara 21 hingga 42 tahun ditahan dekat lokasi kejadian yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPK Perlis, di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Perlis, Datuk Mohamad Abdul Halim.

Kamarudin berkata, risikan polis mendapati sindiket itu aktif sejak setahun lalu dan menggunakan laluan hutan berkenaan sebagai transit untuk membawa masuk bekalan syabu dari negara jiran.

Katanya, laluan tikus di sempadan Malaysia-Thailand yang digunakan sindiket hanya tiga kilometer (km) dari hutan berkenaan, manakala 2km dari jalan utama.

“Sememangnya ada akses untuk kenderaan masuk ke lokasi itu dan membawa keluar bekalan dadah, sebelum syabu dipasarkan ke kawasan Pantai Barat Semenanjung.

“Dengan jumlah rampasan ini, ia boleh digunakan seramai 2.6 juta orang,” katanya yang memberitahu polis turut menyiasat sekiranya terdapat pembabitan penyelia hutan dengan sindiket itu.

Beliau berkata, siasatan juga dibuat bagi mengesan saki baki anggota sindiket dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain itu, kita juga merampas jam tangan, wang tunai, lapan motosikal, tiga kereta, pacuan empat roda dan sebuah jengkaut.

“Semua suspek positif dadah jenis ketamin dan syabu serta mempunyai rekod kesalahan lampau. Mereka direman tujuh hari bermula 10 dan 11 Januari lalu,” katanya.

Loading...
Terkini