comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pemilik pasar mini ditahan, sorok minyak masak bersubsidi di rumah

BUKIT MERTAJAM: Seorang pemilik pasar mini ditahan kerana menyorok sebanyak 1,557 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi sekilogram yang bernilai RM3,892.50 dalam serbuan di sebuah rumah teres di Taman Seri Tambun, Simpang Ampat dekat sini semalam.

Dalam serbuan yang diadakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sekitar jam 1.50 tengahari itu menemui minyak masak tersebut di ruang tamu rumah berkenaan.

Pengarah KPDN negeri S.Jegan, berkata serbuan itu dijalankan selepas soal siasat ke atas pemilik yang juga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 50-an terbabit mempunyai unsur yang meragukan.

“Sebelum serbuan kita telah menghantar pegawai penguatkuasa yang berpakaian preman untuk melakukan penyamaran membeli minyak masak paket di kedai runcit berkenaan.

“Bagaimanapun, pemilik memaklumkan bahawa minyak masak paket tiada stok sehingga selepas itu kita menjalankan siasatan lanjut yang membawa kepada serbuan di sebuah rumah tidak jauh dari kedai runcit itu.

“Ketika serbuan, kita menemui 1,557 kilogram (kg) minyak masak paket satu kg di ruang tamu rumah berkenaan yang disorok peniaga terbabit,” katanya pada sidang media di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN negeri, di sini, hari ini.

Difahamkan, tindakan pemilik itu menyembunyikan minyak masak paket berkenaan kerana ingin menjualnya di luar pasaran dengan mengaut keuntungan yang lebih tinggi.

Tegasnya, KPDN mengingatkan mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi akan diambil tindakan serta merta.

“Orang ramai turut dialu-alukan menghulurkan maklumat berhubung aktiviti penyewelengan barang kawalan bersubsidi.

Loading...
Terkini