comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Wanita dipercayai memandu melawan arus sejauh 15km, ditahan 

JOHOR BAHRU: Memandu kereta secara melawan arus dipercayai sejauh 15 kilometer, seorang wanita warga emas ditahan.

Kejadian dikatakan berlaku di Kilometer 9, Jalan Johor Bahru-Air Hitam di sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dalam satu kenyataan memaklumkan wanita berusia 75 tahun itu ditahan selepas dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Iskandar Puteri, sejurus video pemanduan secara melawan arus itu tular di media sosial.

“Kita mengesan video tular memaparkan kejadian sebuah kereta Honda Civic berwarna kelabu dipandu secara melawan arus.

“Kejadian dipercayai berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 2.50 pagi semalam. Bertindak atas maklumat, kita telah menahan seorang suspek wanita kira-kira jam 4.11 petang semalam bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati wanita itu tidak memandu di bawah pengaruh alkohol, sebaliknya dia disyaki mengalami masalah kesihatan iaitu dementia.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semalam, tular beberapa video memaparkan insiden sebuah kereta dipandu secara berlawanan arus di beberapa aplikasi media sosial.

Dakwa pengguna akaun yang memuat naik video berkenaan, dia percaya warga emas yang menghidap dementia itu memandu seorang diri sejauh 15 kilometer dari Kulai ke Iskandar Puteri.

Dakwanya lagi, terdapat orang awam yang mengepung kenderaan warga emas berkenaan di sebuah jambatan sebelum bertindak menghubungi polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini