comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis Buru Mat Cah & Mat Daha

FOTO: NSTP

BESUT: Polis masih mengesan baki dua lagi ahli Geng Alif Buntal yang masih bebas iaitu Mat Cah dan Mat Daha.

Kedua-duanya turut terbabit dengan kegiatan pecah rumah serta curi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, maklumat mengenai dua individu itu diperoleh selepas pihaknya menahan seorang ahli geng terbabit yang berusia 22 tahun.

Katanya, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis dibuat pengadu yang kehilangan motosikal di Kampung Alor Lintang, Kampung Raja pada 15 September lalu.

“Hasil siasatan awal, suspek terbabit mencuri enam motosikal selain memecah masuk enam rumah di sekitar Besut.

“Taktik suspek ialah mencari rumah yang tiada penghuni dan merosakkan kunci menggunakan pemutar skru sebelum memecah masuk kediaman berkaitan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut hari ini.

Rozak berkata, pihaknya merampas pelbagai barangan berjumlah RM25,000 membabitkan enam motosikal, enam komputer riba serta dua telefon bimbit.

“Saringan ujian air kencing suspek negatif,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang juga penganggur mempunyai 11 rekod kesalahan lampau dan didapati melarikan diri daripada Perintah Parol pada 10 Ogos lalu di Damansara, Selangor yang sepatutnya tamat pada 10 Oktober ini.

“Suspek dipercayai menjual hasil curi kepada rakan jenayahnya untuk dilupuskan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 379 A, Seksyen 324 serta Seksyen 511,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini