comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis siasat video nyanyian Negaraku iringi kibaran Jalur Gemilang, bendera Israel

Tangkap layar video tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp berkaitan kejadian itu.- Foto ihsan PDRM

KUALA LUMPUR: Penyebaran klip video menunjukkan sekumpulan individu menyanyikan lagu Negaraku dan bendera Malaysia dikibarkan bersama-sama bendera negara Israel yang tersebar di media sosial kini disiasat polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata siasatan dijalankan ekoran daripada satu laporan polis diterima pada jam 11.20 malam, kelmarin.

Menurut beliau, pengadu memaklumkan dia melihat satu klip video berdurasi 47 saat berkaitan kejadian itu dalam satu kumpulan WhatsApp sebelum tampil membuat laporan polis.

“Hasil siasatan mendapati kejadian dalam klip video itu berlaku pada September lalu, ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan ke Tasik Galilee yang terletak dalam kawasan jajahan Israel.

“Lawatan dibuat menerusi Ziarah Kembara yang dikendalikan sebuah agensi pelancongan tempatan dan ketika lawatan, lagu Negaraku dipasang dan dinyanyikan serta bendera Malaysia dikibarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ku Mashariman,  kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Beliau turut menasihatkan orang ramai  supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan sebarang bahan berkaitan kejadian itu menerusi mana-mana platform.

“Ini bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis serta menggugat ketenteraman awam.

“Klip video itu dipercayai diviralkan semula untuk dikaitkan dengan isu Israel yang sedang panas sekarang” katanya.

Semakan BH di media sosial pula mendapati ada pihak yang menjelaskan bahawa semasa lawatan di Tasik Galilee itu, kapten bot berkenaan memainkan lagu Negaraku dan menaikkan bendera Malaysia.

Loading...
Terkini