comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Polis tahan empat lelaki, tumpaskan sindiket edar dadah berbentuk lemang

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim (tengah) dan pegawai menunjukkan ganja berbentuk lemang dan pistol angin yang dirampas dari sindiket pengedaran dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor – FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang mengabui pihak berkuasa dengan membungkus ganja berbentuk lemang dalam tiga serbuan yang membawa kepada penahanan empat lelaki termasuk seorang warga asing, sekitar sini kelmarin.

Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai bergerak aktif sejak lima bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, dalam serbuan pertama jam 6 petang polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan sebuah apartment di Bukit Beruntung, di sini.

Beliau berkata, polis merampas 24 paket plastik lut sinar berisi ketulan ganja seberat kira-kira 14 kilogram dalam kereta suspek.

“Seterusnya pasukan serbuan sama menahan tiga lelaki termasuk seorang warga asing berusia 23 hingga 61 tahun yang berada berhampiran sebuah restoran di Bukit Sentosa.

“Pada masa sama, sebuah bekas plastik berisi ganja seberat tiga gram dirampas selain menemui sepucuk pistol angin bersama kelopak peluru dalam kenderaan salah seorang suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, hasil tangkapan dan rampasan, salah seorang suspek membawa polis ke sebuah stor apartment di Bukit Beruntung.

“Pemeriksaan kemudian menemui dua paket plastik lut sinar ganja seberat 1.28 kilogram.

“Semakan mendapati dua suspek masing-masing mempunyai dua rekod lampau dadah dan jenayah.

“Manakala saringan air kencing pula mendapati seorang suspek positif dadah manakala tiga lagi negatif,” katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan dadah berjumlah RM43,710 dan dipercayai untuk dipasarkan di sekitar daerah Hulu Selangor.

Menurutnya, rampasan keseluruhan ganja seberat 15.280 kilogram ini boleh dibekalkan 30,560 pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.5 gram.

“Polis juga menyita kenderaan pacuan empat roda motosikal dan wang tunai RM383.

“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 15 Februari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini