comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lemang daun tebu dapat sambutan di Kuantan

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Lemang antara sajian popular setiap kali sambutan Aidilfitri yang lazimnya dibuat menggunakan daun pisang.

Namun di sini, terdapat lemang yang dihasilkan menggunakan daun tebu.

Pesara tentera, Fauzi Abdul Rahman, antara pengusaha lemang terkenal di Kuantan dengan pengalaman lebih 20 tahun menyediakan aneka jenis lemang.

Ia termasuk lemang daun lerek, daun lebak, daun pisang dan lemang daun tebu.

“Customer minat daun tebu ini sebab rasa dia lemak manis. Dia orang makan sedap, lain daripada yang lain.

Tambah Fauzi, “Jangan takut, daun tebu kita bersih dan kita buang miang dia.”

Memudahkan pembuatan lemang, pokok buluh ditanamnya sendiri di sekitar gerainya di Kampung Padang, Jalan Kuantan-Sungai Lembing.

Hakikatnya, penggunaan daun tebu bukanlah kaedah baharu menyediakan sajian tradisi itu, namun ia jarang dilakukan.

Meskipun kaedah pembuatannya sama seperti menyediakan lemang daun pisang, lemang daun tebu mempunyai keenakan dan aroma yang unik dan tersendiri.

Kata Fauzi, pembuatan lemang kali ini cukup mencabar kerana selain proses membakar lemang yang mengambil masa hampir tiga jam, dia juga perlu berdepan kehangatan bahang api, ditambah dengan cuaca panas ketika ini.

Setiap tahun, jualan lemang yang dilakukan sejak awal Ramadan hingga penghujung Aidilfitri, mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan tetap.

Mereka terdiri daripada penduduk tempatan dan luar negeri, selain hotel terkemuka sekitar Kuantan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini