comscore
Tumpuan :
Jenayah

Remaja 14 tahun antara 7 individu dicekup kaut RM13 juta judi online 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh individu dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan judi dalam talian dalam serbuan di dua unit kondominium di Salak Selatan, Cheras dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner, Zam Halim Jamaluddin berkata, kesemua suspek lelaki warga tempatan  diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

“Seramai tujuh lelaki warga tempatan berumur lingkungan 14 hingga 40 tahun ditangkap kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan judi dalam talian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siasatan turut mendapati premis terbabit digunakan untuk mempromosikan judi dalam talian dengan menyasarkan warga tempatan dan asing.

“Transaksi kemasukan kredit bagi sindiket perjudian ini dianggarkan sekitar RM13 juta sebulan dan dipercayai mula beroperasi sejak April 2023.

“Turut dirampas menerusi serbuan dijalankan adalah 14 unit monitor, tujuh unit CPU, 18 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan tiga unit modem,” katanya.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen120(B) / 420 Kanun Keseksaan dan disiasat bersama Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Kesemua suspek direman  empat hari untuk siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti  mencurigakan melibatkan sindiket seperti ini diminta menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini