comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sorok pukat naga bawah timbunan tong ais

Foto: Jabatan Perikanan Selangor

KUALA SELANGOR: Tindakan menyorok bubu naga dalam timbunan tong ais terpakai, menjadi helah pengguna peralatan haram itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa perikanan di daerah ini dan Sabak Bernam, hari ini.

Namun, helah itu tidak berhasil apabila ia dikesan Jabatan Perikanan Selangor dalam operasi khas terhadap 18 premis yang diperiksa bermula jam 10 pagi.

Dalam operasi selama empat jam berkenaan, sebanyak 715 unit bubu naga dirampas dianggarkan bernilai RM 42,900.

Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar, berkata operasi membabitkan kawasan jeti nelayan Bagan Tengkorak, Kuala Selangor dan Sungai Besar, Sabak Bernam.

Beliau berkata, pihaknya menyasar beberapa jeti disyaki menjadi lokasi penyimpanan bubu naga

“Hasil pemeriksaan termasuk kawasan rumah menemui 26 tong berisi ratusan bubu naga.

“Kesemua peralatan haram ini memberi kesan negatif kepada ekosistem laut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noraisyah berkata, bubu naga digunakan sampan berenjin dan dipasang pada kedudukan antara satu hingga empat batu nautika dari pantai.

Menurutnya, penggunaan peralatan itu didakwa lebih menjimatkan oleh segelintir pihak, namun memusnahkan benih, anak ikan dan sumber perikanan.

“Semua bubu naga ini dirampas untuk tindakan lanjut dan operasi penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi membanteras kegiatan penggunaan bubu naga dan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

“Mana-mana pihak yang didapati menggunakan bubu itu boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985. Adalah menjadi satu kesalahan menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini