comscore
Tumpuan :
Jenayah

Terpedaya iklan pinjaman wang di Instagram, simpanan RM213,700 lesap

Foto hiasan

TAIPING: Hasrat seorang ahli perniagaan wanita membuat pinjaman wang sebanyak RM130,000 berakhir dengan kerugian lebih RM200,000 akibat ditipu sindiket.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata siasatan polis mendapati mangsa berusia 51 tahun melihat satu iklan pinjaman wang di Instagram.

Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan iklan itu berhasrat membuat pinjaman wang sebanyak RM70,000.

“Mangsa menghubungi nombor talian yang diiklankan sebelum berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri dengan nama, Thong Ji Sing.

Mangsa kemudian diminta membuat beberapa transaksi bayaran sebagai wang proses bagi mendapatkan pinjaman itu.

“Bermula dari 1 hingga 16 September lalu, mangsa melakukan sebanyak 25 transaksi pembayaran kepada 16 nombor akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM100,020 sebagaimana diarahkan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, mangsa seterusnya melihat satu lagi iklan pinjaman yang kedua di laman sama daripada syarikat berlainan dan ingin buat pinjaman sebanyak RM60,000.

“Mangsa berurusan dengan suspek kedua yang turut meminta wang proses serta bayaran perkhidmatan dan telah melakukan transaksi sebanyak 24 kali ke 14 nombor akaun yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM113,680.

“Selepas melakukan 30 transaksi secara keseluruhan dengan jumlah RM213,700 bagi kedua-dua pinjaman itu, mangsa bagaimana pun masih gagal mendapatkan pinjaman yang dipohon.

“Malah pertanyaan mangsa tentang status pinjamannya kepada kedua-dua suspek menerusi panggilan telefon tidak dilayan dan panggilannya telah disekat,” katanya.

Katanya, kejadian itu membuatkan mangsa menyedari sudah ditipu sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, sementara siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini