comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tiga saksi dirakam percakapan susulan kes buli SMK Gunung Rapat – polis

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan. – FOTO: NSTP

IPOH: Polis sudah merakam percakapan tiga saksi susulan kes buli di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, di sini dalam kejadian pada Isnin lalu.

Kes membabitkan pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 yang juga atlet bagi sukan sepak takraw.

Artikel berkaitan: Pelajar tingkatan tiga cedera dibuli senior

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata tiga saksi terbabit adalah pengetua sekolah berkenaan serta pelajar lain.

Beliau berkata akibat kejadian itu mangsa iaitu seorang pelajar lelaki Tingkatan 3 yang berasal dari Kuala Lumpur mengalami kecederaan tisu lembut (soft tissue injury) akibat dipukul oleh pembuli iaitu pelajar lelaki Tingkatan 5 terbabit.

“Mangsa hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini susulan kecederaan di bahagian muka kirinya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya lagi, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa pada Isnin lalu bahawa anak lelakinya dibuli senior di asrama sekolah berkenaan.

Yahaya berkata pembuli berkenaan sudah dikenal pasti dan masih bersekolah di situ namun sudah diarahkan oleh pihak sekolah supaya tidak menetap di asrama sekolah terbabit sementara menunggu siasatan dalaman pihak sekolah.

Ditanya secara terperinci mengenai kejadian buli itu, Yahaya berkata mangsa dibuli beberapa kali dalam suatu tempoh masa.

“Tarikh dan masa yang berlainan. Beberapa kali, tidak spesifik (kejadian buli berlaku sekitar jam berapa),” katanya.

Katanya lagi, kertas siasatan kes akan dilengkapkan dalam masa terdekat dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Siang tadi, Buletin TV3 melaporkan kerajaan negeri Perak sedang menunggu laporan penuh berhubung siasatan mengenai kes buli di sebuah sekolah sukan negeri di Gunung Rapat, di sini membabitkan pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 yang juga atlet lelaki bagi sukan sepak takraw.

Loading...
Terkini