comscore
Tumpuan :
Jenayah

Wanita Rugi RM1.4 Juta Ditipu ‘Jurutera’

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki warga Afrika ditahan, Jumaat lalu, kerana disyaki menipu seorang wanita sehingga kerugian RM1.4 juta selepas berkenalan dengan seorang lelaki asing melalui Facebook.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata siasatan mendapati mangsa yang berusia 54 tahun mula berkenalan dengan suspek sejak April lalu.

Katanya, suspek mendakwa bekerja sebagai seorang jurutera dan menetap di New Zealand dan mangsa pula bekerja sendiri.

“Mangsa dan suspek tidak pernah bertemu sejak mereka berkenalan dan kerap berhubung melalui aplikasi WhatsApp dengan suspek menggunakan nombor telefon antarabangsa.

“Sejak berkenalan pada April hingga Oktober ini, suspek meminta mangsa mendahulukan wangnya konon bagi membeli bahan mentah untuk satu projek menghasilkan produk kecantikan.

“Mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek, memasukkan wang ke dalam empat akaun bank berbeza sebanyak 37 transaksi dengan jumlah keseluruhan wang RM1.45 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selepas itu, katanya, mangsa ada menerima panggilan daripada syarikat penghantar barang ‘Global International Diplomatic Services’ memaklumkan suspek ada mengirimkan barang kepada mangsa.

“Pada 8 September lalu, dua suspek berjumpa mangsa dengan membawa beg kononnya berisi wang tunai berjumlah AS$4.2 juta (RM19.8 juta) untuk mangsa, namun dengan syarat mangsa perlu mempunyai ‘origin certificate’ (sijil asal) dan ‘owner certificate’ (sijil pemilikan).

“Suspek mendakwa sekiranya tiada kedua-dua sijil itu, mangsa perlu membayar yuran simpanan sebanyak RM170,000. Bagaimanapun, mangsa menolak kerana dia tidak mempunyai wang.

“Mangsa mula sedar bahawa dia menjadi mangsa penipuan selepas suspek meminta lagi wang tambahan bagi menampung pembelian bahan mentah bagi projek yang tidak diketahui mangsa,” katanya.

Bertindak atas maklumat itu, Mohamad Fakhrudin berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan tiga lelaki warga Afrika di sebuah restoran di Taman OUG Parklane, di sini, kira-kira jam 10 malam, Jumaat lalu.

“Hasil soal siasat ke atas semua suspek mendapati mereka berada di negara ini sejak 2019 dengan menggunakan pas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan tidak bekerja.

“Kesemua suspek berusia antara 35 hingga 48 tahun kini direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini