comscore
Tumpuan :
Kemalangan

2 maut tersepit dalam runtuhan kren

Dua lelaki tempatan maut manakala seorang lagi cedera dalam runtuhan kren di sebuah kilang di kawasan perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan Perak semalam. FOTO: BOMBA

IPOH: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam insiden kren gantri runtuh di sebuah kilang di kawasan perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa yang terkorban ialah Abdul Rajim Hasmki, 33 dan Maiyden Asibin, 29.

Mangsa yang cedera pula dikenali sebagai Mosed Alinid, 34..

Pihak bomba menerima maklumat pada jam 4.58 petang semalam berhubung kejadian membabitkan kren industri berat itu.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku ketika kerja-kerja pemotongan kren untuk dilupuskan. Runtuhan kren itu menyebabkan tiga mangsa berkenaan tersepit,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Pasukan bomba yang tiba di lokasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas serta bantuan kren bagi memudahkan operasi.

Mayat kedua-dua lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada polis, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Operasi menyelamat yang membabitkan 13 anggota bomba dan tujuh anggota polis itu ditamatkan pada jam 10.55 malam,” katanya. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini