comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Koperal polis maut kemalangan, tak sempat jumpa anak

FOTO: Ihsan PDRM

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Hajat seorang anggota polis pulang ke kampung untuk bertemu anaknya yang sedang demam tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori perabot di Kilometer 217, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) di Alor Gajah di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, Koperal Kamarul Arif Mat Noor, 32 meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, nahas berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis
Honda RS150R sedang dalam perjalanan dari arah Subang Jaya ke Melaka.

Kata beliau, lori jenis Isuzu yang dipandu M Thomas, 42, dan kelindan, M John Patrick, 36, juga datang dari arah sama.

FOTO: Ihsan PDRM

“Kemalangan berlaku apabila lori terbabit yang dipandu di lorong tengah telah mengubah haluan ke lorong paling kiri.

“Motosikal terbabit yang berada di lorong paling kiri telah cuba mengelak ke kanan tetapi telah terlanggar bahagian belakang sebelah kanan lori berkenaan mengakibatkan penunggangnya terjatuh,” katanya.

Difahamkan allahyarham yang bertugas di Balai Polis Subang Jaya pulang untuk bertemu anaknya yang demam di Kampung Musai, Melaka selepas selesai bertugas pada jam 12 malam tadi.

FOTO: Ihsan PDRM

Menurut Arshad, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

Katanya, kedua-dua pemandu dan kelindan lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kedua-dua kenderaan ujarnya, dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyan 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini