comscore
Tumpuan :
Kes

Polis rakam keterangan pelakon Zul Huzaimy

Foto: Zul Huzaimy

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakam keterangan pelakon, Zul Huzaimy susulan kenyataan kontroversi didakwa berbaur perkauman.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin, berkata keterangan lelaki berusia 43 tahun itu dirakam semalam.

“Pihak polis masih menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi melengkapkan kertas siasatan itu.

“Kertas siasatan kemudian akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis membuka kertas siasatan ke atas pelakon terbabit susulan video kenyataannya yang tular di media sosial.

Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman mengikut Seksyen 506, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu tular rakaman video ceramah pelakon itu di pentas dikaitkan dengan PAS mengandungi kenyataan kontroversi berbaur perkauman.

Kenyataan sensitif pelakon itu dikatakan dirakam pada satu program di Kemaman, Terengganu, pada 4 November lalu.

Zul Huzaimy kemudian menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, memohon maaf atas ucapan itu yang didakwanya disalah anggap. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini