comscore
Tumpuan :
Kes

Remaja cedera diserang sekumpulan lelaki

Seorang remaja diserang sekumpulan lelaki di sebuah restoran.

JOHOR BAHRU: Seorang remaja cedera diserang sekumpulan lelaki di sebuah restoran di pusat bandar di sini, awal pagi semalam dipercayai akibat perkenalannya dengan seorang wanita warga asing.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, lelaki berusia 19 tahun itu cedera di beberapa anggota badannya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa mendakwa dia berkenalan dengan seorang wanita warga asing melalui laman sosial, sebelum berjanji untuk bertemu di sebuah restoran di kawasan berkenaan.

“Ketika sedang minum, mangsa didatangi empat lelaki yang bertanyakan bagaimana dia berkenalan dengan wanita berkenaan sebelum dipukul.

“Mangsa bertindak melarikan diri ke kawasan berhampiran sebelum dikejar oleh enam lagi lelaki, sehingga akhirnya dia dibelasah sekumpulan 10 lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa kemudian diberikan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa video seorang lelaki dibelasah sekumpulan lelaki lain di sebuah restoran.

Rakaman video itu menunjukkan lelaki berkenaan mengalami kecederaan di bahagian muka, kepala, badan dan kakinya dipercayai.

Mangsa dilihat dipukul menggunakan kon dan juga kerusi restoran. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini