comscore
Tumpuan :
Kes

Tiada unsur jenayah babit mekanik maut dihempap jentolak

PASIR GUDANG: Polis mengklasifikasikan kejadian seorang mekanik maut dihempap sebuah jentolak yang berlaku di sebuah pusat pelupusan sampah di Tanjung Pelepas sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, setakat ini tiada unsur jenayah membabitkan kes berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat panggilan kecemasan diterima, lelaki berusia 51 tahun itu dikatakan dihempap jentolak dan tersepit.

Menurutnya, pegawai perubatan Hospital Sultan Ismail (HSI) mengesahkan kematian lelaki berkenaan.

“Mayat mangsa dirujuk ke HSI untuk proses bedah siasat.

“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) selain siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Terdahulu sepasukan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke tempat kejadian selepas menerima maklumat berkaitan kejadian malang menimpa mangsa.

Setiba di lokasi, anggota bomba mendapati seorang pekerja lelaki berusia 51 tahun dihempap sebuah jentolak.

Mangsa adalah pekerja luar yang datang untuk membaiki jentolak dan ketika membaikinya, jentolak itu terjatuh dan menghempap mangsa.

Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dibantu sebuah jengkaut. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini