comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Hubungan Korea Selatan-Jepun semakin baik

FOTO: AGENSI

SEOUL: Hubungan antara Korea Selatan dan Jepun kini menunjukkan trend peningkatan yang jelas selepas tempoh ‘pahit yang mendalam’ sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata Presiden Yoon Suk Yeol dalam perutusannya pada Selasa.

“Hubungan antara Korea Selatan dan Jepun yang melalui ujian paling sukar sejak beberapa tahun lalu kini menunjukkan trend peningkatan yang semakin baik,” lapor agensi berita Yonhap memetik perutusan Yoon .

Perutusan Yoon dibacakan oleh Naib Menteri Luar Pertama Cho Hyun-dong, pada persidangan bersama panel swasta kedua-dua negara di Seoul bagi membantu membangunkan hubungan dua hala.

Yoon menegaskan Korea Selatan dan Jepun merupakan “jiran terdekat dan paling penting” yang perlu bekerjasama dalam semua bidang, termasuk keselamatan dan ekonomi. Presiden berkata kerajaan Seoul akan terus berusaha “menambah baik secara praktikal” hubungan kedua-dua negara.

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dalam perutusannya yang disampaikan oleh Duta Besar Jepun ke Korea Selatan, Koichi Aiboshi juga berjanji untuk berusaha meningkatkan hubungan dua hala.

Kishida berkata beliau akan mengekalkan komunikasi rapat dengan Yoon untuk penyelesaian segera isu yang belum selesai.

Yoon berkali-kali menyatakan komitmennya untuk memperbaiki hubungan dua hala selepas menggantikan pendahulunya yang liberal Moon Jae-in.

Kedua-dua negara jiran itu telah berusaha untuk meningkatkan kerjasama keselamatan terhadap provokasi dan ancaman Korea Utara. – BERNAMA

Loading...
Terkini