comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Kandungan tinggi etilena glikol dan dietilena glikol dikesan, lesen 2 syarikat pengeluar ubat Indonesia digantung

Foto: Reuters

JAKARTA: Agensi makanan dan ubat Indonesia (BPOM) menggantung lesen dua lagi syarikat ubat tempatan yang mengeluarkan ubat jenis sirap, ketika pihak berkuasa menyiasat kematian hampir 200 kanak-kanak akibat kerosakan buah pinggang akut.

Ketika ini, Indonesia melarang sementara penjualan beberapa ubat berasaskan sirap sejak Oktober lalu selepas ia mengenal pasti kehadiran etilena glikol dan dietilena glikol dalam beberapa produk sebagai faktor yang mungkin menyebabkan penyakit itu.

Kedua-dua bahan itu digunakan dalam cecair anti beku dan brek serta aplikasi industri selain sebagai alternatif lebih murah dalam beberapa produk farmaseutikal, menggantikan gliserin, pelarut atau agen pemekat dalam banyak sirap batuk.

Ketua agensi makanan dan ubat-ubatan (BPOM), Penny K Lukito, berkata syarikat PT Samco Farma dan PT Ciubros Farma menggunakan etilena glikol dan dietilena glikol pada tahap yang tinggi dalam produk mereka.

Syarikat terbabit juga sudah diarahkan untuk menarik balik produk dan memusnahkan baki ubat serta lesen pengeluaran mereka dibatalkan buat sementara waktu.

Bagaimanapun, kedua-dua syarikat itu tidak segera menjawab sebarang pertanyaan.

Awal minggu ini, BPOM menggantung lesen pengedaran tiga syarikat lain kerana membuat produk yang dikatakan mengandungi tahap tinggi etilena glikol dan dietilena glikol.

Indonesia mula menyiasat kematian kanak-kanak selepas berunding dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menyusuli tragedi sama di Gambia tahun ini, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 70 kematian berkaitan ubat sirap yang dibuat oleh Maiden Pharmaceuticals dari India. – REUTERS

Loading...
Terkini