comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Pengundi Thailand di luar negara mula mengundi mulai 24 April – 5 Mei

FOTO: AFP

BANGKOK: Pengundi Thailand di luar negara akan mengundi awal pada 24 April hingga 5 Mei bagi Pilihan Raya Umum yang akan berlangsung pada 7 Mei, kata Timbalan Ketua Pengarah Hal Ehwal Konsular Kementerian Luar Thailand, Narong Boonsatheanwong.

Pengundi di luar negara akan melaksanakan tanggungjawab mereka di kedutaan/konsulat jeneral atau mengundi melalui pos, seperti yang ditentukan oleh kedutaan/konsulat jeneral Thailand di negara masing-masing sebelum undi mereka dikira di Thailand. Pendaftaran untuk pengundian luar negara bermula 25 Mac hingga 9 April.

“Setakat 28 Mac, sebanyak 24,005 rakyat Thailand telah mendaftar, termasuk pengundi yang berada di Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan Jerman menjadi antara lima negara utama,” katanya.

Pada pilihan raya umum 2019, sejumlah 119,313 warga Thailand mendaftar untuk mengundi di luar negara, dengan pengundi dari Australia (16,000 pengundi), China, United Kingdom, Jepun, Jerman, Malaysia, Singapura, Korea Selatan dan Perancis menjadi 10 negara teratas.

Bagi mempertingkatkan lagi persiapan pilihan raya di luar negara, MFA telah membangunkan Sistem Pemantauan Pengundian Luar Negara (OVMS) untuk menjejaki kemajuan terkini untuk memastikan pengaturan yang lancar dan telus, kata Narong.

“Rakyat Thailand di luar negara boleh mendaftar melalui laman web (URL: https://stat.bora.dopa.go.th/Election/popout) atau menghubungi Kedutaan Diraja Thai atau Konsulat Jeneral.

“Warga Thailand di luar negara dikehendaki mendaftar secara khusus untuk setiap pilihan raya dan melengkapkan maklumat terkini mengenai penempatan mereka,” katanya.
Narong berkata, MFA bekerjasama rapat dengan EC, Kementerian Dalam Negeri dan Thailand Post demi memastikan pengundian luar negara lancar.

“MFA kini mengedarkan peralatan berkaitan yang dibekalkan oleh SPR, ke luar negara untuk memulakan persiapan yang diperlukan.
“MFA juga telah menjalankan latihan untuk kakitangan Kedutaan dan Konsulat dengan penceramah daripada EC menyediakan maklumat dan prosedur operasi yang berkaitan,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini