comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Peraturan baharu jamin hak penumpang pesawat di Arab Saudi

JEDDAH: Mulai 20 November, penumpang pesawat di Arab Saudi, akan menerima pampasan sehingga RM8,150 untuk kehilangan bagasi dan maksimum 200 peratus daripada nilai tiket bagi pembatalan penerbangan.

Ini antara peraturan baharu bagi yang diumumkan Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA).

Peruntukan ini bagi melindungi hak penumpang, menggantikan yang sedia ada sekali gus menjamin penumpang menerima penjagaan, sokongan dan pampasan yang sewajarnya.

Pampasan akan diberikan sekiranya penerbangan berlepas lebih awal daripada jadual atau kelewatan berlepas atau pembatalan penerbangan, serta jika berlaku keengganan untuk menaiki pesawat kerana terlebih tempahan, dan penurunan taraf.

Memetik laporan Saudi Gazette, sebahagian pampasan itu berjumlah 150 dan 200 peratus daripada nilai tiket dan ia ditetapkan dalam peraturan baharu.

Peraturan itu menjamin penumpang yang kehilangan bagasi dengan pampasan kewangan bersamaan SR6,568. Sekiranya berlaku kerosakan, kecacatan atau kelewatan bagasi, penumpang berhak mendapat pampasan kewangan tidak melebihi SR6,568.

Selain itu juga menjamin pampasan kepada pengembara sekiranya syarikat penerbangan menambah tempat persinggahan yang tidak diumumkan ketika pengesahan tempahan tiket.

Naib Presiden GACA untuk Kualiti dan Pengalaman Pengembara, Abdulaziz Aldahmash, berkata peraturan baharu itu mencerminkan komitmen pihak berkuasa terhadap kepuasan penumpang dan kesungguhan untuk meningkatkan pengalaman perjalanan udara dengan melindungi penumpang daripada sebarang perubahan mendadak dalam trafik udara, dan menyediakan pilihan yang lebih baik kepada mereka.

Penerimaan pihak berkuasa terhadap peraturan baharu itu mencerminkan komitmen berterusan terhadap pembangunan dan pencarian segala yang menambah pengalaman penumpang dalam usaha mencapai matlamat strategi nasional bagi sektor penerbangan, kata Aldahmash, sambil menambah strategi itu bertujuan memperkasakan Wawasan Arab Saudi 2030 dan berusaha mencapai matlamat dalam sektor pelancongan dan meningkatkan keupayaan untuk mempelbagaikan ekonomi.

GACA berminat untuk membangun dan menambah baik sistem secara amnya melalui penggunaan beberapa inisiatif dan program dengan tujuan untuk menyumbang kepada kemajuan industri pengangkutan udara tempatan, serantau dan antarabangsa dalam beberapa kawasan.

Ini adalah selaras dengan sistem dan piawaian antarabangsa terkini, berdasarkan strategi nasional untuk sektor penerbangan awam yang bertujuan untuk membolehkan sektor penerbangan negara itu berada di kedudukan teratas di Asia Barat, sekali gus mencapai sasaran 330 juta penumpang.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kapasiti pengangkutan udara kepada 4.5 juta tan, dan meningkatkan tahap ketersambungan udara untuk mencapai 250 destinasi ke dan dari lapangan terbang di negara itu menjelang 2030. – AGENSI

Loading...
Terkini