comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Arab Saudi anjur Sidang Kemuncak luar biasa mengenai perang di Gaza

FOTO: Reuters

ANKARA : Arab Saudi menganjurkan sidang kemuncak luar biasa Negara-Negara Arab-Islam pada Sabtu bagi membincangkan situasi di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.

“Susulan situasi yang meruncing di Gaza, kerajaan memutuskan untuk mengadakan Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab-Islam di Riyadh pada Sabtu.

“Ia bagi menggantikan sidang kemuncak tergempar negara-negara Arab dan sidang kemuncak tergempar Islam yang dijadualkan pada tarikh yang sama,” menurut Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan.

Arab Saudi sebelum ini dijadual menganjurkan dua sidang kemuncak Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Kementerian itu menjelaskan bahawa keputusan untuk mengadakan sidang kemuncak Arab-Islam itu sebagai usaha menyatukan dan menyatakan pendirian bersama negara Arab-Islam mengenai situasi  yang belum pernah berlaku sebelum ini di Gaza dan wilayah Palestin.

Serangan berterusan tanpa henti rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza sejak kira-kira sebulan yang lepas telah membunuh lebih 11,000 orang, dengan sebahagian besar terdiri penduduk awam terutamanya wanita dan kanak-kanak.  – BERNAMA-ANADOLU

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini