comscore
Tumpuan :
Luar Negara

TikTok berdepan kemungkinan didenda langgar privasi kanak-kanak

FOTO: Reuters

LONDON: TikTok berdepan kemungkinan denda di Kesatuan Eropah (EU) berjumlah jutaan dolar kerana melanggar privasi kanak-kanak, seperti yang diumumkan oleh pengawal perlindungan data blok itu.

Lembaga Perlindungan Data Eropah telah mengeluarkan keputusan muktamad berhubung pengendalian data kanak-kanak oleh platform itu, lapor Agensi Anadolu.

Denda itu dijangka dikeluarkan dalam tempoh empat minggu akan datang.

Keputusan itu berpunca daripada siasatan yang dilancarkan pada 2021 oleh pesuruhjaya perlindungan data di Ireland dan menilai pematuhan TikTok terhadap peraturan perlindungan data EU dan amalannya terhadap data individu berumur 13-17 tahun.

Selaras dengan Akta Perkhidmatan Digital EU, platform dalam talian utama termasuk TikTok, Google dan Facebook akan bertanggungjawab untuk memantau dan mengalih keluar kandungan terlarang daripada platform mereka, tidak membenarkan kaedah pengiklanan tertentu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan berkongsi data.

Sebelum ini, badan kawal selia data United Kingdom mengenakan denda sebanyak £12.7 juta (lebih US$16 juta) terhadap TikTok, hasil pengendalian data tanpa kebenaran untuk 1.4 juta kanak-kanak di bawah umur 13 tahun yang telah menggunakan platform itu tanpa mendapatkan persetujuan ibu bapa. – BERNAMA-ANADOLU

Loading...
Terkini