comscore
Tumpuan :
Mahkamah

6 pekerja kilang warga Myanmar didakwa belasah dua beranak hingga koma

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Enam pekerja kilang warga Myanmar dihadapkan di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini atas dua pertuduhan membelasah dua beranak termasuk seorang bekas pengawal
keselamatan sehingga koma, akhir bulan lalu.

Tiada pengakuan dibuat kesemua tertuduh yang berusia antara 21 hingga 33 tahun itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam kerana tidak memahami Bahasa Melayu.

Hakim Darmafikri kemudian menetapkan 21 Disember depan sebagai tarikh lantikan jurubahasa Myanmar.

Kesemua tertuduh didakwa memukul bekas pengawal keselamatan, E. Murali Kuppusamy, 50 dan anaknya, Daniel, 19, dengan objek kayu dan batang besi.

Kejadian itu menyebabkan Murali koma manakala anaknya, cedera parah.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di bawah Blok L, Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh  jam 10.40 malam, 31 Oktober lalu.

Dakwaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nazrin Ali Rahim .

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

​​​​​​​Hakim Darmafikri membenarkan permohonan pihak pendakwaraya supaya kesemua tertuduh tidak diikat jamin kerana bimbang warga asing terbabit melarikan diri.

Loading...
Terkini