comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bekas MP Padang Serai kena bayar ganti rugi RM150,000 kes fitnah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Ahli Parlimen (MP) Padang Serai, N Gobalakrishnan membayar ganti rugi RM150,000 kepada sepasang suami isteri berhubung mesej WhatsApp berbaur fitnah mendakwa mereka menipu beberapa ahli perniagaan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Raja Mohzan membuat keputusan itu selepas membenarkan saman pasangan berkenaan terhadap Gobalakrishnan.

Ketika mengesahkan perkara itu, peguam, Rueben Mathiavaranam yang mewakili pasangan terbabit, berkata mahkamah turut mengarahkan Gobalakrishnan membayar RM40,000 sebagai kos kepada juruterbang, S Selvakumar dan isterinya, R Indrani, bekas Bendahari PKR Cawangan Sungai Siput.

Dalam penghakiman, Raja Ahmad Mohzanuddin memutuskan ketiga-tiga mesej defendan melalui WhatsApp pada 4 Jun 2019 adalah bersifat fitnah terhadap pasangan itu.

“Mahkamah turut menolak tuntutan balas Gobalakrishnan terhadap Indrani kerana ketiadaan bukti,” kata Rueben.

Pernyataan tuntutan pasangan itu yang difailkan pada 7 November 2019, antara lain memohon ganti rugi am, perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menulis atau menyiarkan perkataan berbaur fitnah, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

Loading...
Terkini