comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Bekas pemain Liga Super mengaku tidak bersalah tuduhan pecah rumah & miliki barang curi

PONTIAN: Bekas pemain bola sepak Liga Super Malaysia mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pecah rumah dan memiliki harta curi, bulan lalu dan awal bulan ini.

Foto : NSTP

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Azinee Taib, 33, dituduh bersama-sama dua lagi rakan yang masih bebas telah memecah masuk ke sebuah rumah di Taman Benut Utama, Benut, di sini, bagi mencuri.

Kesalahan itu dilakukan pada kira-kira jam 12.05 tengah hari pada 8 Jun lalu.

@buletintv3

Bekas pemain bola sepak Liga Super Malaysia mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pecah rumah dan memiliki harta curi, bulan lalu dan awal bulan ini. #beritadiktiktok #buletintv3 #mahkamah

♬ original sound – BuletinTV3 – BuletinTV3

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Azinee dituduh bersama-sama dua rakannya, Muhammad Hairul Hafiz Muzaren, 24, dan Khairul Akmal Zainol Abidin, 31, telah memecah sebuah rumah di Taman Cendana, Benut, di sini, bagi mencuri.

Kesalahan itu dilakukan mereka kira-kira jam 1.15 petang pada 3 Julai lalu.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohd Azinee dituduh menyimpan harta curi membabitkan sebuah telefon bimbit jenama OPPO A5 bewarna putih milik mangsa rumah yang dipecah masuk.

Kesalahan itu dilakukannya di Jeti Nelayan Ayer Baloi, di sini, kira-kira kam 4.30 petang, pada 3 Julai lalu.

Sementara itu, Muhammad Hairul Hafiz Muzaren, 24, pula turut dituduh menerima harta curi membabitkan sebuah beg hitam, dompet jenama Fossil, beberapa keping wang kertas matawang Korea, sekeping simkad dan dua keping tiket kapal terbang Vietnam Airlines atas nama mangsa rumah yang dipecah masuk.

Kesalahan itu dilakukannya di tepi Jalan Johor Bahru-Batu Pahat-Sanglang di Ayer Baloi, di sini, kira-kira jam 1.30 petang pada 3 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, Mohd Azinee dan Muhammad Hairul Hafiz didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Muhammad Hairul Hafiz dan Khairul Akmal turut mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurezzati mencadangkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin sementara perbicaraan kes berjalan.

Bagaimanapun, Mohd Azinee yang kini bekerja di pasar merayu mahkamah merendahkan jaminan mengambil kira pendapatannya hanya sekitar RM1,000 sebulan selain perlu menanggung lima orang anak, selain ibu dan ayahnya.

Majistret Nur Azzuin memerintahkan kesemua tertuduh dijamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta menetapkan sebutan kes pada 30 Ogos depan bagi serahan dokumen.

Pada 10 Julai lalu, Mohd Azinee dan dua rakannya itu dilaporkan ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes pecah rumah sebelum direman bagi disiasatan lanjut.

Mengikut rekod, Mohd Azinee memulakan karier profesional sebagai pemain bola pada 2012 dengan mewakili Johor FA, Johor Darul Ta’zim (JDT) II, JDT, Penang FA, Melaka FC danterakhir, Perak FC pada 2022.

Loading...
Terkini