comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bella masih terkesan, trauma – Peguam

Peguam pemerhati, Datuk Khairul Anwar Rahmat, (tiga dari kiri) hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan rayuan kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Setelah tiga tahun berlalu, remaja Sindrom Down dikenali Bella dikatakan masih trauma selepas didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Perkara itu dimaklumkan peguam pemerhati, Datuk Khairul Anwar Rahmat, yang dilantik Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, ketika ditanya mengenai keadaan Bella selepas prosiding keputusan rayuan Siti Bainun hari ini.

“Kami boleh mengesahkan sehingga kini Bella masih terkesan dan belum boleh menerima kesakitan dialami, dia masih trauma.

“Walaupun ada kecederaan sudah pulih dan ada yang masih lagi memerlukan rawatan susulan terutamanya kecederaan membabitkan kulit, ibarat pepatah Melayu sakit boleh hilang, parut tetap ada,” katanya dalam sidang media hari ini.

Peguam itu turut memaklumkan, berdasarkan ujian klinikal yang dibuat pakar perubatan, Bella disahkan berusia 17 tahun.

Terdahulu, Siti Bainun kekal atas sabitan dan hukuman dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down, Bella di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim, Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Siti Bainun selaku perayu untuk mengetepikan sabitan bersalah terhadapnya.

Dengan keputusan itu, mahkamah akan mendengar rayuan hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun.

Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini