comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ibu kandung dapat kebenaran jaga sementara budak mangsa dera

Ana akan membawa pulang anaknya ke kediaman keluarga hari ini dan berhasrat mendaftarkannya ke sekolah. – Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Ibu kandung kepada kanak-kanak lelaki mangsa penderaan dan pengabaian bersyukur kerana diberi kebenaran oleh mahkamah untuk menjaga sementara anaknya.

Wanita  yang hanya mahu dikenali sebagai Ana, 34, berkata,  mahkamah membenarkan penempatan sementara bagi anaknya selama dua bulan di kediaman keluarganya.

Menurutnya, dia akan membawa anak bongsu daripada tiga beradik itu ke kediaman keluarga di Kuala Selangor, hari ini.

“Saya bersyukur kerana dapat membawa pulang anak hari ini. Dia menyatakan sudah lama memasang impian untuk tinggal bersama saya dan bersekolah seperti kanak-kanak lain.

“Saya akan mendaftarkannya ke sekolah dan kami sekeluarga juga berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan anak saya cepat sembuh,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Kanak-kanak Johor Bahru di sini, hari ini.

Perintah dikeluarkan oleh Majistret Nor Fatin Mohamad Farid di Mahkamah Kanak-kanak Johor Bahru.

Hadir di perkarangan mahkamah, Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Zaid Ikhwan Lim dan ahli keluarga mangsa.

Pada 22 Oktober lalu, seorang bapa dan teman wanitanya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini, atas pertuduhan mengabaikan anak lelaki berusia 7 tahun sehingga kesihatannya merosot, daripada Julai sehingga Oktober tahun ini.

Bagaimanapun, teman wanitanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan fizikal pada tangan kanan kanak-kanak itu.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Pulai Jaya, Johor Bahru antara Julai hingga 12 Oktober lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kanak-kanak malang itu diselamatkan pada 13 Oktober lalu hasil laporan polis oleh seorang jiran yang mendakwa mangsa dikurung di tandas dan dalam keadaan tidak bermaya.

Loading...
Terkini