comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] ‘Inspektor Sheila’ mengaku tidak bersalah 

Oleh : Ridhwan Rusydi Azri Roslan

SELAYANG: Pegawai polis wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap kesemua tiga pertuduhan berhubung ugutan dan mengaibkan anggota bawahan serta orang awam.

“Saya tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan … Saya faham pertuduhan,” katanya selepas tuduhan dibacakan jurubahasa Mahkamah di hadapan Majistret Chai Guan Hock.

Inspektor Sheila Sharon A/P Steven Kumar hadir di Mahkamah Majistret Selayang bersama peguam untuk pertuduhan kes ugutan jenayah dan berkelakuan tidak sopan di tempat awam. -FOTO NSTP

Sheila Sharon Steven Kumar atau lebih dikenali dengan nama Inspektor Sheila di media sosial, didakwa mengugut seorang wanita dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki dengan berkata; “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu”.

Dakwaan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni atas pertuduhan menyebut pangkat Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan cara tidak wajar dengan maksud mengaibkan kehormatannya.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak masing-masing pada jam 12 tengahari dan 1 petang pada 15 Jun lalu.

Guan Hock membenarkan Sheila diikat jamin sebanyak RM3000 dengan seorang penjamin manakala
Nor Hafizah mengenakan jaminan sebanyak RM2,000.

Terdahulu peguam bela M Manoharan, memohon supaya anak guamnya diberikan wang ikat jamin yang rendah atau dilepaskan dengan bon tanpa jaminan  dalam rayuan pembelaannya.

Manoharan berkata, anak guamnya yang mempunyai ijazah dalam bidang Bahasa dan Linguistik daripada Universiti Malaya itu, sudah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2016.

Tambahnya, Sheila juga datang dari keluarga yang baik, yang mana bapanya juga merupakan bekas anggota PDRM yang telah berkhidmat selama 39 tahun dengan pangkat terakhir sebagai Asisten Superintendan selain adik tertuduh juga berkhidmat dalam PDRM.

 

Loading...
Terkini