comscore
Tumpuan :
Nasional

Faisal Halim tunjukkan kesembuhan positif – Adam

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim (tengah) bergambar bersama pemenang Anugerah Belia Perdana pada sambutan Hari Belia Negara 2024 peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Pemain sayap Harimau Malaya dan Selangor, Mohamad Faisal Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim menunjukkan tanda-tanda kesembuhan yang positif.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata proses rawatan pemain sayap berkenaan berjalan dengan lancar dan baik.

“Kita bagi ruang kepada beliau (Faisal Halim) untuk sembuh dan setakat ini lawatan ke atasnya juga agak terhad dan hanya keluarga serta pihak pengurusannya, dibenarkan untuk melawat.”

“Kementerian saya sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan Faisal Halim untuk sebarang perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Adam Adli berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tahap perkembangan kesihatan Faisal Halim, pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan 2024, di sini, hari ini.

Beliau berkata masih terlalu awal untuk menakrifkan Faisal Halim telah pulih sepenuhnya.

“Pemulihan beliau sedang berlaku dan kementerian saya bersama rakan-rakan strategik ISN, sedia membantu Faisal Halim daripada segi fisioterapi dan rehabilitasi di ISN (Institut Sukan Negara), sekiranya beliau perlukan,” katanya.

Pada 5 Mei, Faisal Halim mengalami kecederaan melecur pada beberapa bahagian badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, sekali gus membataskan pergerakan dan percakapannya.

Pemain yang memenangi Anugerah Gol Terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari itu, dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan antaranya membabitkan dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan depan.

Insiden itu merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain bola sepak negara selepas pemain pinjaman Terengganu, Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera pada kepala dan kaki apabila diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, 2 Mei.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baharu selepas itu apabila cermin kereta pemain kelab Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim, dipecahkan oleh dua lelaki menaiki motosikal dengan menggunakan tukul besi di Johor Bahru, pada 7 Mei. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini