comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] ‘Inspektor Sheila’ tiba di mahkamah dijangka hadapi tiga pertuduhan

 

BANDAR BARU SELAYANG: Pegawai polis wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ tiba di Mahkamah Majistret di sini  bagi menghadapi tiga pertuduhan berhubung ugutan dan mengaibkan anggota bawahan serta orang awam.

 

Sheila hadir dengan memakai sut hitam dilihat memasuki pekarangan mahkamah pada jam 8.55 pagi dengan diiringi peguamnya M Manoharan dan M Hariharan.

Pegawai polis itu yang ditahan kerja sejak minggu lalu, dijangka berdepan tiga pertuduhan iaitu  mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan) dan dua tuduhan mengikut Seksyen 509 kanun sama kerana perbuatan mengaibkan.

Difahamkan, pendakwaan akan dijalankan di dua mahkamah majistret bersaingan.

Jika sabit kesalahan, tuduhan ugutan boleh membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan mengaibkan pula, ia memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sebelum ini, pegawai itu berdepan kecaman netizen selepas dua klip video masing-masing berdurasi 24 dan 10 saat dimuat naik di media sosial, Khamis lalu, memaparkan dirinya mencemuh seorang lagi anggota berpangkat Lans koperal dalam kejadian di Gombak, Selangor.

Susulan itu, polis Selangor memanggil pegawai wanita terbabit untuk dirakam keterangan sebelum dia ditahan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Inspektor Sheila Sharon A/P Steven Kumar hadir di Mahkamah Majistret Selayang bersama peguam untuk pertuduhan kes ugutan jenayah dan berkelakuan tidak sopan di tempat awam. -FOTO NSTP

Polis sebelum ini mengesahkan menerima laporan kejadian pegawai polis wanita yang dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ yang bertengkar dengan orang awam di parkir pusat beli-belah di Brickfields, di sini.

Proses rakaman percakapannya sudah diambil pada 18 Jun lalu dan kedua-kedua kertas siasatan sudah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman pada 19 Jun lalu.Sebanyak enam kertas siasatan tatatertib dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIP) Bukit Aman berkait kes dihadapi pegawai wanita terbabit.

Loading...
Terkini