comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kena hukuman jalani khidmat masyarakat atas kesalahan merogol

Ahmad Rasyid mendapat peluang kedua apabila diperintah menjalani khidmat masyarakat dan dikenakan bon berkelakuan baik atas kesalahan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar madrasah, tahun lalu. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.

MELAKA: Bekas pelajar kolej diperintah menjalani khidmat masyarakat 240 jam selama dua tahun kerana kesalahan merogol dan melakukan amang seksual terhadap pelajar madrasah bawah umur, tahun lalu.

Keputusan dibuat Hakim Darmafikri Abu Adam di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

Tertuduh Ahmad Rasyid Ruslan, 19, yang berdepan pertuduhan merogol dan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal, mengaku bersalah.

Menurut Darmafikri, perintah itu dikeluarkan mengikut peruntukan Seksyen 293 (1) (e) Kanun Acara Jenayah (Akta 593).

Darmafikri turut mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bercagar RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh untuk tiga tahun mengikut Seksyen 294 kanun sama iaitu peruntukan bagi pelepasan atas dasar tertuduh adalah pesalah muda dan itu kesalahan pertamanya.

Beliau berkata, mahkamah dalam membuat keputusan itu menimbangkan keseluruhan laporan sosial tertuduh yang dibacakan pegawai JKM, fakta kes, rayuan tertuduh serta hujah pendakwaan.

“Mahkamah ingin menasihati penama, sekiranya gagal mematuhi perintah khidmat masyarakat dalam tempoh ditetapkan, kamu boleh dihadapkan semula ke mahkamah dan boleh dihukum mengikut peruntukan asal,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati merogol seorang perempuan berusia 15 tahun 20 hari di bilik sebuah hotel di Jalan Plaza Mahkota, di sini, jam 1.30 tengah hari pada 12 Jun 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didapati melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada tarikh, masa dan di tempat sama, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan juga sebat.

Mengikut fakta kes, mangsa pergi ke hotel berkenaan seorang diri selepas dikatakan enggan ke madrasah sebelum meminta bantuan tertuduh untuk mendaftar masuk menggunakan namanya disebabkan mangsa masih di bawah umur.

Tertuduh kemudian menemani mangsa di dalam bilik hotel berkenaan sebelum memujuknya untuk melakukan hubungan seks.

Terdahulu, Peguam Zulkifli Awang merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas alasan remaja itu kini digantung dari kolejnya dan kini hanya bekerja sambilan di kedai runcit, selain itu adalah kesalahan pertama dan sudah insaf.

Katanya, pihak kolej tempat tertuduh belajar juga bersedia memberikan peluang kedua kepadanya untuk meneruskan pengajian sekiranya kes mahkamah itu dapat diselesaikan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin bagaimanapun memohon mahkamah menimbangkan faktor kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman apatah lagi kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Loading...
Terkini