comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja OKU hilang di Pitas jumpa di Kudat

Remaja OKU, Willfa Jeff, 19, hilang daripada rumah di Kampung Tampakahu, Pitas sejak tiga hari lalu.- FOTO: NSTP

PITAS: Remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU) yang dilaporkan hilang dari rumah di Kampung Tampakahu, di sini, tiga hari lalu ditemui selamat di Kudat.

Penemuan Willfa Jeff, 19, etnik Rungus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu disahkan oleh saudaranya, Lister Mihun, 33.

“Willfa memaklumkan dia mengikut rakannya ke bandar itu untuk mencari pekerjaan,” kata Lister.

Jelas Lister, tindakan Willfa menimbulkan kebimbangan kerana dia tidak memaklumkan pemergiannya ke Kudat kepada keluarganya.

Semalam, tular di media sosial mengenai kehilangan remaja perempuan pemegang kad OKU itu hilang dari rumah pada waktu malam.

Ibu mangsa, Ruhina Sigoh, 39, mendakwa Willfa keluar meninggalkan rumah ketika dia dan semua ahli keluarga yang lain sedang tidur.

Ruhina yang gagal menjejaki anaknya membuat laporan polis di Balai Polis Pitas.

Sementara itu, Lister mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit membantu mengesan Willfa sehingga ditemui semula dalam keadaan selamat.

Untuk rekod, Kudat terletak kira-kira 130 kilometer atau dua setengah jam perjalanan dari Pintas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini