comscore
Tumpuan :
Nasional

PM beri sumbangan redakan ujian dan beban remaja mangsa nahas enam sekeluarga

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi menziarah dan menyampaikan sumbangan Perdana Menteri kepada Abdul Rahman Amir semalam. – FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada remaja lelaki yang kehilangan ibu bapa dan empat adik-beradiknya akibat kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Jumaat lalu.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, Anwar berkata, sumbangan kepada Abdul Rahman Amir Ruddin, 19, diserahkan Setiausaha Politik beliau Ahmad Farhan Fauzi, semalam bagi meredakan ujian dan beban yang dihadapi remaja itu.

“Saya mohon teman-teman untuk turut bantu dan mendoakan buat Rahman agar kekal kuat semangat dan tabah menghadapi ujianNya.

“Semoga ahli keluarganya dikurniakan keampunan dan diberi tempat yang istimewa di sisi-Nya,” menurut catatan itu.

Kemalangan pada 1 September lalu di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, mengorbankan bapa dan ibu Abdul Rahman iaitu Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhammad, 43.

Turut maut empat lagi adik-beradiknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, akibat Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan lori.

Seorang lagi adiknya, Abdullah Amir Ruddin, ketika ini masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat, Johor. – BERNAMA

Loading...
Terkini