comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Lelaki mengaku salah atas 32 tuduhan rogol, amang seksual anak tiri

MELAKA: Seorang lelaki mengaku bersalah atas 32 tuduhan termasuk merogol, amang seksual dan melakukan seks menggunakan objek terhadap anak tirinya di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.

Tertuduh yang juga pengajar kelas renang berusia 36 tahun membuat pengakuan itu sejurus semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam di Mahkamah Sesyen berasingan.

Tertuduh mengaku salah atas 32 pertuduhan termasuk rogol, amang seksual terhadap anak tirinya sejak tiga tahun lalu. FOTO: NSTP

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman kepada 15 Mei depan bagi membolehkan pendakwaan melengkapkan fakta kes termasuk mendapatkan keterangan impak mangsa.

Tertuduh didakwa terhadap 12 pertuduhan rogol mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan masing-masing maksimum 20 tahun serta 30 tahun berserta sebatan.

Bagi 12 tuduhan melakukan amang seksual, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, sementara lapan pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek mengikut Seksyen 377CA KK.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa yang kini berusia 16 tahun antara Januari 2020 hingga 14 Mac lalu di sebuah rumah di Jasin.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh bagi memastikan kehadirannya ke mahkamah.

Pada 9 April lalu, media melaporkan suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol remaja perempuan yang juga anak tiri lelaki itu sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah dilapor berkata, pasangan itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 9.30 malam, 8 April lalu sejurus tiba dari Sabah, susulan laporan yang dibuat mangsa.

Loading...
Terkini