comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lima penyokong bola sepak Terengganu direman 

Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah / Zamri Ghani 

KUALA TERENGGANU: Lima penyokong bola sepak pasukan Terengganu yang dipercayai terlibat insiden kekecohan serta membaling batu ke arah bas penyokong Selangor dalam kejadian malam Isnin lalu direman empat hari bermula hari ini sehingga Ahad, bagi membantu siasatan.

Perintah reman terhadap suspek berusia 24 hingga 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Kesemua suspek yang bekerja sendiri itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, lima suspek terbabit ditahan susulan tangkapan oleh pasukan Cantas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) terhadap seorang lelaki di lokasi kejadian di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 22 November lalu.

Operasi mengesan suspek dilakukan di sekitar daerah Kuala Terengganu antara jam 11 oagi hingga 8 malam, semalam.

Isnin lalu berlaku insiden kekacauan dan kekerasan  terhadap pasukan Selangor FC selepas perlawanan separuh akhir kedua dalam Piala Malaysia.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.00 tengah malam itu, sekumpulan penonton dipercayai penyokong TFC bertindak liar dengan melempar kon dan objek lain ke arah bas yang membawa pasukan Selangor FC keluar dari SSMZA selepas tamat perlawanan.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan cermin bas pecah selepas objek dipercayai batu yang dilempar menembusi dan hampir terkena pegawai Selangor FC.

Loading...
Terkini