comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah batal rayuan Peguam Kanan UK Jonathan Laidlaw wakili Najib kes SRC

Foto: NSTP

PUTRAJAYA: Jonathan Laidlaw yang juga peguam kanan yang berpangkalan di United Kingdom (UK), gagal dalam permohonannya mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kes SRC International Sdn. Bhd. (SRC).

Keputusan dibuat panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Zabariah Mohd. Yusof.

Menerusi keputusan sebulat suara itu, mahkamah membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC), pendakwa raya, Badan Peguam Malaysia dan Jawatankuasa Badan Peguam Kuala Lumpur.

Sidang yang turut didengar hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais selepas meneliti permohonan Jonathan untuk diterima masuk dan bertindak mewakili mantan Perdana Menteri itu.

Pada keputusan dibacakan, Hakim Datuk Zabariah berkata, ini kerana rayuan dan semakan kes SRC melibatkan Datuk Seri Najib di peringkat mahkamah tertinggi, sudah tiba ke penghujungnya.

“Tujuan permohonan adalah agar beliau diterima masuk mewakili Datuk Seri Najib, namun demikian prosiding jenayah terhadapnya sudah selesai sepenuhnya, maka notis rayuan ini dibatalkan,” menurut hakim berkenaan.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili AGC memohon rayuan itu dibatalkan atas alasan ia kini akademik.

Hujah disokong peguam Datuk Bastian Vendargon mewakili Badan Peguam Malaysia dan Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar mewakili Jawatankuasa Badan Peguam Kuala Lumpur.

Terdahulu, mahkamah mengekalkan Hakim Nordin dan Hakim Abu Bakar menganggotai panel berkenaan selepas menolak permohonan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk menggugurkan kedua-duanya.

Pada 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib.

Rayuan sabitan dan hukuman beliau turut ditolak Mahkamah Rayuan pada 2021.

Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 menolak permohonan Datuk Seri Najib untuk menyemak sabitan dan hukuman berkenaan.

Datuk Seri Najib, 70, kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Loading...
Terkini