comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Najib, Arul Kanda kekal bebas tuduhan pinda laporan audit 1MDB

 

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy kekal bebas daripada tuduhan meminda Laporan Pengauditan Akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membatalkan dua notis rayuan pendakwaan selepas mendapati ia sudah lewat lebih daripada dua bulan dan dianggap luput dan terbatal.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin sehubungan itu, sebulat suara menolak permohonan pendakwaan untuk memfailkan petisyen rayuan berkenaan di luar tempoh masa.

Tarikh akhir bagi pendakwaan memfailkan petisyen rayuan berkenaan adalah pada 6 Julai lalu, iaitu dalam tempoh 14 hari selepas rekod rayuan diperoleh, iaitu pada 26 Jun.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, pada 3 Mac lalu membebaskan Najib dan Arul Kanda selepas mendapati pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Najib, 70, didakwa pada 12 Disember 2018, menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Pengauditan Akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindunginya daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Loading...
Terkini